Rabu, 20 Julai 2016

PERAYAAN DI MALAYSIA

Pengenalan
Selamat datang ke Malaysia, negara beraneka budaya, bahasa, agama dan makanan yang memikat hati. Penyatuan budaya dan sosial yang berkurun lamanya di antara bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban dan lain-lain telah melahirkan masyarakat Malaysia berbilang kaum yang hidup dalam harmoni. Sambutan bersama pelbagai perayaan, sambutan tradisi dan aktiviti kebudayaan di sepanjang tahun memastikan pelancong tidak mungkin bosan di sini. Terkenal dengan keramahan mereka, rakyat Malaysia tidak sabar berkongsi acara dan perayaan mereka bersama kenalan mahu pun pelancong asing. Bagi sambutan perayaan yang meriah, inilah masanya dan Malaysialah tempatnya.

Hari Raya Aidilfitri
Pada tanggal 1 Syawal tahun hijrah,seluruh masyarakat islam di dunia akan menyambut hari Raya Aidil Fitri.Di Malaysia, sambutan hari raya ini disebut Hari Raya Puasa. Hari raya ini setelah menghabiskan puasa pada bulan Ramadan.
Sambutan Hari Raya Aidil Fitri ini akan ditentukan harinya apabila anak bulan Syawal(rukyah)dapat dilihat pada penghujung bulan Ramadan. Ini mengikut hisab berdasarkan Takwim Tahun Islam. kebiasaannya, apabila sudah ditentukan 1 Syawal itu ,pada malamnya umat islam beramai-ramai bertakbir hari raya di masjid atau surau.
Tarikh Hari Raya Aidil Fitri adalah sentiasa tetap dan sama iaitu bulan ke 10 dalam takwim Hijrah.. Namun begitu tarikhnya sentiasa berubah mengikut kalender masihi kerana kalender Hijrah adalah mengikut peredaran bulan manakala kalender Masihi pula mengikut peredaran bumi mengelilingi matahari. Oleh itu,tarikh hari raya adalah berbeza daripada tahun ke tahun. Dengan beza lebih kurang 10 hingga 15 hari.
Semua umat islam lelaki dan perempuan akan ke masjid untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidil Fitri secara berjemaah. Di Negara kita, sambutan Hari Raya Aidilfitri ini disambut secara meriah pada setiap tahun.
Selain itu, umat islam diwajibkan membayar zakat fitrah bagi setiap anggota keluarga. Kadar nilai zakat ditentukan oleh harga semasa beras,iaitu makanan asasi di Negara.
Bermula seawal bulan Ramadan lagi, umat Islam akan membuat persiapan tertentu untuk menyambut kedatangan hari raya ini. Antara tradisi umat islam di negara ini menjelang kedatangan 1 Syawal ini, adalah menyediakan pakaian baru untuk keluarga, menghias rumah dan membuat palbagai jenis kuih tradisi untuk di hidangkan kepada para tetamu yang datang berkunjung ke rumah.
Pada Hari Raya AidilFitri juga,umat islam akan memyediakan berbagai-bagai juadah tradisional seperti lemang, ketupat, nasi himpit, dodol dan lain-lain untuk tetamu yang datang berkunjung dan beraya di rumah mereka. Bagi kanak-kanak pula, mereka amat gembira kerana dapat bergaya dengan pakaian yang baru serta mendapat duit raya. Amalan memberi duit raya adalah satu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Islam di negara kita.
Selain itu, pada hari raya juga umat Islam akan berkunjung ke pusara ahli keluarga dan saudara-mara.
Kemeriahan rumah terbuka juga dapat menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum untuk bersama-sama menyambut perayaan ini dengan penuh rasa gembira dalam suasana harmoni.



                           ( Gambar Ihsan Google)


Tahun Baru Cina
Perayaan ini disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di Malaysia yang menandakan kedatangan tahun baru menurut kalendar mereka. Orang Cina percaya ada 12 binatang yang menaungi kalendar mereka iaitu tikus , lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi. Setiap binatang ini memberi signifikan dan tuahnya tersendiri
Pada malam Tahun Baru semua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama. Tujuannya adalah untuk mengeratkan jalinan hubungan sesama keluarga. Ahli kelurga yang telah berumahtangga akan memberi 'Angpau' kepada saudara mara dan sahabat yang belum berumahtangga. 'Angpau' membawa pengertian kesejahteraan yang berpanjangan, ianya sejenis sampul berwarna merah dan diisi dengan sejumlah wang. Buah limau mandarin dan kuih bakul merupakan kemestian yang perlu ada semasa merayakan Tahun Baru Cina
Sepanjang Tahun Baru Cina berlangsung, tarian singa dimainkan dari rumah ke rumah dan kedai-kedai untuk memberi berkat kepada mereka yang meraikan perayaan tersebut. Penutup kepada perayaan Tahun baru Cina ialah perayaan Chap Goh Meh.


                          ( Gambar Ihsan Google )


Deepavali
Perayaan ini disambut oleh masyarakat Hindu. Ianya dirayakan pada bulan gelap bernama 'Aippasi’ pada bulan Oktober dan November. Deepavali bermaksud ‘sebarisan pelita’. Dengan memasang pelita, mereka percaya bahawa kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, keadilan mengatasi kezaliman dan kebijaksanaan mengatasi kejahilan. Di pagi hari, masyarakat Hindu akan menyucikan tubuh badan dengan memakai sedikit minyak di kepala dan mandi. Kemudian mereka bersembahyang di rumah atau dikuil-kuil.
Selepas bersembahyang, mereka berkunjung ke rumah kaum keluarga. Kebiasannya, surirumah akan menyediakan kotak-kotak kecil berisi manisan dan membawa bersama apabila berkunjung ke rumah saudara-mara mereka. Di kebanyakan rumah, ‘Rangoli’ iaitu lukisan yang dibuat daripada tepung beras berwarna-warni akan menyambut tetamu di hadapan rumah.



                           ( Gambar Ihsan Google )



Krismas
Perayaan ini dirayakan oleh penganut Kristian pada 25 hb Disember sebagai mengingati kelahiran Jesus Christ. Sambutan Krismas dimeriahkan dengan hiasan pohon krismas yang dipasang dengan lampu berwarna warni. Bungkusan-bungkusan hadiah akan diletakkan di bawah pokok untuk dibuka pada hari tersebut. Christmas Carol dinyanyikan di rumah-rumah penganut Kristian oleh kumpulan koir yang diundang. Tuan rumah akan memberi derma kepada kumpulan koir tersebut kerana persembahan mereka. Pada malam tersebut, mereka bergembira dengan menyanyi dan menari. Kanak-kanak tidak digalakkan mengikut mereka sebaliknya disuruh tidur kerana semasa mereka tidur, mereka percaya Santa Claus akan datang membawa hadiah kepada mereka. Sepertimana perayaan masyarakat lain, pada pagi hari Krismas mereka akan mengunjungi gereja-gereja untuk upacara sembahyang.


                        ( Gambar Ihsan Google )


Perayaan Tadau Kaamatan
Merupakan perayaan masyarakat Kadazan di Negeri Sabah pada bulan Mei setiap tahun iaitu sehabis selesai menuai padi. Untuk menyambut perayaan Tadau Kaamatan mereka menyediakan kuih-muih dan air tapai. Perayaan ini kebiasaannya diadakan selama dua malam berturut-turut. Kebiasaannya malam pertama diadakan upacara ‘magavau’ atau pemujaan semangat padi yang diketuai oleh ‘bobohigan’ dan beberapa orang pembantunya. Pada malam kedua, upacara ‘habot’ iaitu beras yang diperam diberikan kepada 'bobohigan' sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran. Tetamu akan dihiburkan dengan tarian ‘Sumazau’ dan ‘Megalang’ sambil meminum air tapai.


                           ( Gambar Ihsan Google )



Perayaan Gawai Dayak
Perayaan ini disambut oleh masyarakat Dayak di Sarawak pada 1 hb Jun setiap tahun. Kuih-muih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras, gula dan santan disediakan. Tuak merupakan sajian utama perayaan Gawai Dayak. Perayaan Gawai Dayak bermula dengan upacara membuang sial oleh Tuai Gawai. Tuai Gawai memulakan upacara ‘miring’ ini diruai (beranda) rumah panjang. Beliau berdoa supaya dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Pada jam 12.00 malam upacara minum air pengayu dilakukan dengan harapan supaya panjang umur, sihat dan makmur. Pada pagi 1 hb Jun, tepat jam 7.00 pagi, tuai rumah dengan diiringi oleh beberapa penghuni rumah panjang menghantar piring persembahan ke tiang pengingat iaitu sejenis kayu yang sering digunakan untuk mendirikan rumah panjang.


                           ( Gambar Ihsan Google )



Kepentingan Perayaan
Sambutan hari perayaan di negara ini meliputi perayaan Hari Raya Puasa buat orang Islam, Tahun Baru Cina buat orang Cina dan perayaan Deepavali buat orang India. Ketika perayaan ini disambut suasananya pasti dengan kegembiraan dan sedikit hidangan makanan. Semua rakyat negara ini menanti-nanti setiap perayaan dengan penuh debaran dan semangat tinggi. Oleh itu memang ada banyak kebaikan jika sambutan perayaan ini dilaksanakan di negara ini.
Kalau semua perayaan ini disambut bersama-sama sudah pasti akan berlaku interaksi antara kaum dan hubungan erat akan terjalin. Perayaan di negara ini mempunyai konsep rumah terbuka yakni setiap perayaan akan diadakan majlis melawat rumah orang yang menyambut sesuatu perayaan itu. Lawatan yang diadakan sudah pasti akan menyebabkan berlakunya interaksi antara kaum. Oleh itu, perayaan memang mampu meningkatkan interaksi kaum.
Interaksi yang wujud ketika melawat rumah seseorang itu akan meningkatkan pengetahuan masing-masing akan budaya kaum yang lain. Pemahaman sebegini menjadikan masyarakat lebih faham akan tindakan seseorang daripada kaum yang berbeza dalam sesuatu perkara. Sudah pasti tidak akan timbul sebarang salah faham antara kaum pula. Maka, perayaan mampu meningkatkan kefahaman tentang budaya kaum yang lain.
Malah, imej negara juga akan turut menjadi lebih baik pada mata masyarakat dunia terutama pelancong asing. Bukan mudah untuk memiliki sebuah negara yang aman jika rakyatnya berbilang kaum berdasarkan mata masyarakat antarabangsa. Kejayaan Malaysia mengekalkan keamanannya banyak bergantung kepada keupayaan rakyat negara ini menyambut perayaan setiap kaum dengan penuh kegembiraan. Jelaslah, perayaan di negara ini memberikan satu imej yang positif kepada negara dengan begitu mudah.
Kesimpulannya, sambutan hari perayaan mestilah diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Pada masa yang sama sambutan ini hendaklah dijadikan satu perayaan kebangsaan yang dinikmati bersama-sama. Generasi muda akan mendapat banyak manfaat daripada sambutan sebegini. Masyarakat yang harmoni akan wujud menerusi perayaan sebegini pada masa hadapan.




                            ( Gambar Ihsan Google )